Budak 10 tahun melecur dapur masak meletup
KOTA KINABALU-- Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun melecur selepas dapur memasak di rumahnya meletup petang semalam. Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 2.22 petang semalam. "Ada letupan dapur gas berlaku di sebuah rumah di Kampung Berungis, Tuaran dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran dikerahkan ke lokasi. "Dalam kejadian ini terdapat seorang mangsa lelaki kanak-kanak berusia 10 tahun mengalami kecederaan melecur akibat terkena letupan dapur gas," katanya dalam kenyataan. Jelasnya, mangsa kemudian dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan Pasukan Bomba di lokasi kejadian. "Seterusnya pasukan bertindak menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada bahaya lain yang wujud," tambahnya lagi. tamat