Berpisah 8 tahun, dua beradik menanggung rindu tiada penghujung selepas mengetahui ibu kandung telah pergi selamanya


TANAH MERAH— Dua beradik terpaksa menanggung kerinduan yang tidak berpenghujung apabila ibu kandung mereka yang berasal dari Bintulu, Sarawak, yang hilang sejak lapan tahun lalu telah meninggal dunia.

Memetik laporan Berita Harian, Muhammad Khairul Huzaifi Mohd Baidowi, 15, dan adiknya Muhammad Khairul Aiman, 13, mengetahui khabar sedih berhubung ibu mereka, Ezanie Eleena Mohamad Adnan, 30, oleh seorang wanita yang mendakwa ibu saudara kepada Ezanie Eleena, selepas kisah dua beradik itu disiarkan media pada Isnin.

Muhammad Khairul yang tinggal di Maahad Tahfiz al-Quran Nur Al-Majid di Machang,Kelantan berkata, dia dan adiknya cuba mencari ibu kandungnya itu sejak lapan tahun lalu dan amat berharap dapat bertemu semula dengan ibu mereka.

"Selama lapan tahun kami cari, rupa-rupanya dia sudah meninggal dunia tiga tahun lalu.

“Khabar tentang ibu kami itu dimaklumkan oleh ustaz pada 8.15 malam Isnin selepas dihubungi ibu saudara kepada ibu kami," katanya.

Jelas Muhammad Khairul, ibu kandungnya itu meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang.

"Sebaik ustaz beritahu ibu sudah tiga tahun meninggal dunia, saya dan adik menangis kerana kami rindu dan sangat berharap dapat bertemunya.

"Saya dimaklumkan arwah ibu juga berhasrat berjumpa kami, namun tidak kesampaian," katanya.

Sebelum ini media melaporkan dua beradik yang tinggal bersama datuk dan nenek mereka di Kampung Cermin, di sini, berusaha mengesan ibu kandung mereka yang menghilangkan diri sejak lapan tahun lalu, bagi melancarkan proses membuat MyKad Muhammad Khairul Huzaifi.

Sementara itu, guru maahad tahfiz terbabit, Mohd Faizal Ali, 40, berkata dia dihubungi ibu saudara arwah Ezanie Eleena pada jam 8 malam tadi selepas wanita terbabit terlihat komennya di pautan berita mengenai pencarian anak saudaranya itu.

Katanya, wanita itu memperkenalkan diri sebagai ibu saudara Ezanie Eleena dan memaklumkan ibu dua beradik ini sudah tiga tahun meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang.

Malah, katanya, wanita itu juga menghantar video dan pautan di Facebook mengenai pemergian Ezanie Eleena tiga tahun lalu sebagai bukti.

“Dia juga memberitahu lokasi pusaranya di Selangor serta sedia memberi alamat jika ingin menziarah.

"Walaupun berita diterima ini sangat menyedihkan, sekurang-kurangnya Khairul dan Aiman tahu ibu mereka sudah tiada dan tidak lagi menyimpan harapan untuk bertemu dengannya setiap hari," katanya.

Mengenai isu Mykad Muhammad Khairul Huzaifi, beliau berkata, pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kelantan sudah meminta mereka hadir ke pejabat agensi itu di Tanah Merah bagi meneruskan proses membuat kad pengenalan.

tamat

Comments

Popular posts from this blog

Wanita dijumpai mati dipercayai dibunuh di Batu Kawa

Struktur binaan haram di tebing sungai Sungai Sebiew akan diroboh

Wanita jadi sasaran lelaki China kemaruk cinta