Dua sepupu maut motosikal rempuh belakang lori, pemandu ditahan
KUCHING-- Dua sepupu maut selepas motosikal dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori yang di parkir di tepi Jalan Pelabuhan di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, dalam kemalangan yang berlaku sekitar jam 11.10 malam itu menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal lelaki warga tempatan berusia 25 dan 18 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal yang datang dari arah Jalan Pending menuju ke Jalan Bako telah merempuh belakang sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan.
"Kedua-dua mangsa merupakan sepupu telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegasnya lagi, pemandu lori yang merupakan seorang lelaki tempatan telah ditahan bagi membantu siasatan.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Pihak polis menyeru agar mana–mana orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Muhammad Amirul Azami Ahmad Rasol di talian 016-8593994 / 082-259900 atau mana–mana balai polis yang berhampiran.
"Selain itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan kerana tindakan ini boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain," ujarnya.
tamat
Comments
Post a Comment