Pilihlah doktor tempatan setiap kawasan sambung pengajian kepakaran, atasi isu kekosongan pakar di Sarawak

KUCHING— Seorang pakar bedah mencadangkan agar doktor tempatan di setiap kawasan dipilih untuk menyambung pengajian kepakaran bagi mengatasi isu penempatan doktor pakar di hospital dan klinik di Sarawak.

 Dr Aimir Ma’rof yang sudah 15 tahun berkhidmat di beberapa kawasan di Sarawak dan kini berkhidmat di Hospital Sri Aman berkata, dengan mengutamakan pemilihan doktor tempatan untuk menyambung pengajian kepakaran dan mengatasi isu penempatan pakar di sesebuah hospital di negeri ini.

“Pilihlah doktor tempatan di setiap kawasan tersebut untuk menyambung pengajian kepakaran berdasarkan merit, bukan saya suruh pilih sebarang. 

“Tetapi kalau dia memang asal situ, berilah sedikit kelebihan untuk dia masuk program. Nanti habis belajar, mesti dia nak balik rumah dia juga. Tak payah dah pening kepala nak cari siapa akan kerja di hospital tersebut.

“Masa terima dia sebagai calon, terus tandatangan kontrak, hospital mana dia akan bertugas setelah tamat pengajian. Tak boleh tukar, katalah 5 tahun atau sehingga menyambung pengajian subkepakaran, yang mana sampai dahulu,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Pada masa sama Dr Aimir mencadangkan kaedah sama jika hendak memilih calon subkepakaran.

“Contohnya, Sibu memerlukan pakar bedah hepatobiliari atau vaskular, maka permudahkanlah pemilihan calon pakar bedah yang berasal dari Sibu atau yang memang sudah buat keputusan untuk bermastautin di sana. 

“Nanti lepas tamat pengajian, memang sah-sah dia akan balik Sibu juga. Tak payah susah-susah kena paksa orang lain datang, yang memang kita tahu tak sampai dua tahun mesti akan isi borang minta pindah atau cabut lari ke swasta kalau tak bagi pindah,” jelasnya.

Justeru, beliau meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kembali kepada tujuan asal Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) yang menelan belanja berjuta-juta ringgit untuk melatih pakar demi memberi perkhidmatan perubatan terbaik kepada rakyat. 

Mengenai Dr Aimir, ibu bapanya berasal di Kelantan dan beliau dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Lumpur.

Beliau berkhidmat di Sarawak sejak dari doktor pelatih (HO) hingga menjadi pakar bedah.

Beliau pernah berkhidmat enam tahun di Sibu, enam tahun di Kuching dan kini di Sri Aman, membuat keputusan untuk bermastautin di Sarawak demi menabur bakti kepada rakyat di negeri ini.

tamat

Comments

Popular posts from this blog

Wanita dijumpai mati dipercayai dibunuh di Batu Kawa

Struktur binaan haram di tebing sungai Sungai Sebiew akan diroboh

Wanita jadi sasaran lelaki China kemaruk cinta