Dakwaan ADUN Pending bahawa terdapat pengkhianatan hak Sarawak ke atas sumber Petroleum adalah kepalsuan berniat jahat yang melampau.

Hasidah balas kenyataan Violet berhubung isu minyak dan gas Sarawak dengan fakta



KUCHING— Struktur Perlembagaan asas kekal tidak berubah, dan Kerajaan GPS tidak pernah mengatakan bahawa Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA 1974) membatalkan atau mengatasi undang-undang atau hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Perkara ini ditegaskan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali yang memberitahu PDA 1974 dan Ordinan Pengagihan Gas Sarawak 2016 (DGO 2016) kedua-duanya berkuat kuasa.

“Kerajaan GPS sentiasa teguh dalam komitmennya untuk mempertahankan hak dan autonomi Sarawak, khususnya berkaitan sumber asli kita. 

“Pendirian kami sentiasa bahawa kedua-dua undang-undang Persekutuan dan Negeri mesti dihormati dan mesti wujud bersama. 

“PDA 1974 dan DGO 2016 kedua-duanya berkuat kuasa, tetapi ini tidak bermakna, dan kami tidak pernah mengatakan bahawa PDA 1974 adalah mutlak. PDA 1974, seperti mana-mana undang-undang lain, masih tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi merujuk kepada kenyataan yang dibuat ADUN Pending Violet Yong berkenaan dengan PDA 1974 dan dakwaannya yang tidak masuk akal mengenai kedudukan Sarawak mengenai hak minyak dan gasnya. 

Mengulas lanjut, Hasidah berkata, di bawah Perkara 8(j) Senarai Persekutuan Perlembagaan Persekutuan, kawalan Kerajaan Persekutuan ke atas petroleum masih tertakluk kepada Perkara 2(c) Senarai Negeri, yang memberikan kuasa Sarawak ke atas tanah dan sumber aslinya iaitu melalui lesen mencari gali, pajakan perlombongan dan sijil. 


“Justeru, dakwaan ADUN Pending bahawa terdapat pengkhianatan hak Sarawak ke atas sumber Petroleum adalah kepalsuan berniat jahat yang melampau. 

“Sepanjang sepuluh tahun yang lalu, Sarawak telah mendapat semula banyak hak ke atas petroleum,” tegasnya lagi.

Tambahnya, sejak 2020, Sarawak telah mendapat semula kawalan penuh ke atas perlombongan darat. 

Hasidah menjelaskan, pajakan perlombongan telah dikeluarkan di bawah Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak kepada PETROS untuk meneroka dan mengeluarkan petroleum di kawasan Adong Kechik Barat pengeluaran minyak Miri akan bermula dalam masa beberapa bulan lagi. 

“Ini akan menandakan kali pertama dalam lebih 50 tahun pengeluaran minyak berlaku di darat di Sarawak. 

“Sehingga pembentukan PETROS, Sarawak tidak mempunyai hak atau ekuiti dalam mana-mana medan minyak dan gas di kawasan luar pesisir Negeri. 

“Hari ini, PETROS mempunyai ekuiti dalam 5 blok pengeluar minyak dan gas di Pelantar Benua dan merupakan syarikat minyak dan gas ketiga terbesar di Malaysia dan mempunyai pendapatan tahunan RM 4bilion setahun,” ujarnya. 

Menurutnya, PETROS akan terus berkembang, kerana ia terlibat dalam penerokaan minyak dan gas di 5 blok luar pesisir dan berpotensi akan menerajui pembangunan rizab gas yang kaya di perairan barat Sarawak. 

Katanya, semua fakta ini menunjukkan bahawa Kerajaan GPS memperoleh semula hak yang tidak boleh dipisahkan ke atas sumber minyak dan gasnya.

Malahan, katanya, dalam aktiviti hiliran, Sarawak akan mengawal pengagihan gas dalam Negeri melalui DGO 2016.

“Kerajaan GPS akan memastikan sumber gas kita akan digunakan secara mampan kerana trend semasa mengeksport 94 peratus daripada gas asli yang dihasilkan di Negeri ini bukanlah penggunaan mampan sumber yang semakin berkurangan. 

“Kami telah diberi jaminan sekurang-kurangnya 1.2bmmsfd gas untuk menyokong Pelan Hala Tuju Gas Sarawak yang akan membolehkan Sarawak menarik lebih banyak pelaburan asing, menyokong penjanaan kuasa yang lebih besar dan memacu Sarawak menjadi hab tenaga bersih ASEAN seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri. 

“Segala usaha Kerajaan GPS ini membuktikan bahawa ia tidak dan tidak akan mengkhianati rakyat Sarawak. Tuduhan jahat ADUN Pending adalah semata-mata untuk mencetuskan polemik politik,” kata Hasidah.

tamat

Comments

Popular posts from this blog

Wanita dijumpai mati dipercayai dibunuh di Batu Kawa

Struktur binaan haram di tebing sungai Sungai Sebiew akan diroboh

Wanita jadi sasaran lelaki China kemaruk cinta