Guna Spay Global elak SKAS disalah guna, lebih telus-Abang Johari

SERIAN — Pemberian Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) menggunakan platform aplikasi kewangan digital, SPay Global bagi mengelak bantuan yang diberikan disalah guna, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau menjelaskan, pemberian sumbangan itu bertujuan untuk memastikan setiap keluarga di Sarawak yang layak menerima bantuan berkenaan memanfaatkan sumbangan tersebut dengan betul.

“Kita guna SPay Global supaya penerima dapat menggunakannya untuk membeli barang keperluan asas kerana kita sedia maklum kalau diberi tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) ia cepat dibelanjakan termasuk digunakan membeli barangan yang tidak diperlukan.

“Jadi sebab itulah kerajaan Sarawak menggunakan platform digital untuk menyalurkan bantuan ini agar setiap isi rumah yang layak menerima ada makanan mereka di atas meja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran program SKAS peringkat negeri di Pusat Persidangan Serian, di sini hari ini.

Tambah Abang Johari, penggunaan platform itu juga menggalakkan pendigitalan dalam kalangan rakyat Sarawak.

“Kerajaan Persekutuan telah memperkenalkan Malaysia ID tetapi sambutannya kurang memberangsangkan iaitu kira-kira sejuta lebih orang berdaftar di bawah platform tersebut berbanding jumlah rakyat Malaysia lebih 34 juta.

“Tetapi di Sarawak kita hanya mempunyai polulasi sekitar 2.8 juta orang namun di bawah platform Sarawak ID lebih 1.5 juta orang telah berdaftar dan ini menunjukkan rakyat kita di negeri ini lebih ke hadapan dalam digital,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh sistem penyampaian bantuan sosial kepada rakyat dengan memanfaatkan teknologi kewangan digital menerusi aplikasi SPay Global.

Jelasnya, penggunaan aplikasi ini membolehkan agihan bantuan dibuat dengan lebih cekap, telus dan mudah.
Menurutnya lagi, pengurusan ekonomi negeri yang mampan membolehkan kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin.
Dengan pelaksanaan SKAS dan penggunaan teknologi dalam sistem agihan bantuan, Sarawak terus menunjukkan kesungguhan dalam memastikan rakyatnya tidak tercicir dalam arus pembangunan ekonomi yang semakin mencabar.

Sementara itu, Pejabat Jabatan Premier Sarawak dalam kenyataan hari ini berkata, sehingga 18 Februari 2025, 564,099 atau 63.6 peratus penerima SKAS telah mendaftar S Pay Global.  

Bagi penerima SKAS yang belum mendaftar, pihaknya menyeru agar segera mendaftar bagi membolehkan mereka menerima sumbangan ini.

“Bagi mereka yang layak tetapi tidak tersenarai menerima SKAS, kita telah membuka permohonan secara atas talian melalui laman web http://sarawak.gov.my/skas atau di Pejabat Daerah berdekatan bermula 1 Februari hingga 31 Mac 2025.  

“Setakat ini, kita telah menerima 35,416 permohonan baharu.  Keputusan bagi permohonan baharu ini akan diketahui bermula Julai 2025,” ujarnya.

SKAS diagihkan kepada 886,288 penerima SKAS yang layak secara one off  dengan nilai RM800 bagi isi rumah, RM250 bagi individu bujang dan RM400 bagi warga emas tiada pasangan. 

“Kita juga telah mendaftar lebih daripada 1,200 peniaga di seluruh Sarawak sebagai merchant SKAS.  

“Oleh itu, penerima SKAS boleh berbelanja di merchant SKAS seluruh Sarawak,” tegas kenyataan itu.

Comments

Popular posts from this blog

Wanita dijumpai mati dipercayai dibunuh di Batu Kawa

Struktur binaan haram di tebing sungai Sungai Sebiew akan diroboh

Wanita jadi sasaran lelaki China kemaruk cinta