Jambatan Batang Rajang hubungkan Sarikei-Pasi siap Mac ini, dibuka sebelum Aidilfitri - Abang Jo
DARO-- Jambatan Batang Rajang menghubungkan Sarikei dan Pasi dijangka siap Mac tahun ini dan dibuka kepada orang ramai sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Jelasnya, dengan siapnya jambatan itu nanti akan melengkapi jaringan jalan raya dari Daro ke Sarikei dan Sibu.
“Selepas ini sudah tentu kalau Jambatan Batang Rajang siap Mac tahun ini, ia akan menghubungkan penduduk di sini ke Sarikei dan Sibu.
“Bermakna agenda kita untuk membangunkan jaringan jalan raya menerusi jalan raya dan jambatan yang telah kita idamkan akhirnya terlaksana.
“Dan yang bagusnya adalah menggunakan dana sendiri dan tidak ada cas, bebas tol. Bermakna ulang alik tidak ada bayaran dan ini disebabkan keutuhan kewangan Sarawak yang kita beri balik kepada rakyat menerusi pembangunan yang dijalankan.
“Harap jambatan ini boleh digunakan sebelum raya..Alhamdulillah rakyat dapat jalan dan SKAS (Sumbangan Keperluan Asas Sarawak),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Jambatan Muara Lassa Daro Mukah di sini hari ini.
Selain jalan raya, Abang Johari menegaskan kerajaan Sarawak juga memberi tumpuan untuk meningkatkan jaringan bekalan elektrik dan air terutamanya luar bandar.
“Satu lagi perkara yang saya tekankan di sini adalah elektrik dan air di mana tumpuan kita berikan hingga 2030 nanti ialah membangunkan grid air dan elektrik,” tambahnya.
Untuk rekod projek Jambatan Batang Rajang, dan Jalan Pasi-Sibu/Tanjung Manis sepanjang 17 kilometer (km) dijangka siap menjelang Mac 2025.
Projek itu bernilai RM320 juta yang merupakan sebahagian daripada projek jalan pesisir negeri, akan mengurangkan jarak dan masa perjalanan dengan ketara.
Sebelum ini penduduk dari Sarikei perlu melalui Sibu untuk ke Tanjung Manis yang memakan masa perjalanan selama dua jam 30 minit.
"Apabila siap kelak, tempoh perjalanan akan dikurangkan kepada hanya kira-kira 55 minit," kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika majlis peletakan bongkah terakhir Jambatan Batang Rajang sepanjang 1.2 km di sini baru-baru ini.
Uggah berkata jalan itu ialah sebahagian daripada projek jalan pesisir sepanjang 900 km dan jalan utama kedua sejauh 300 km yang sedang dibina oleh kerajaan negeri Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Comments
Post a Comment