Jambatan Muara Lassa hubungkan Pulau Bruit dan Daro bernilai hampir RM600 juta siap, bebas tol - Abang Johari


DARO — Jambatan Muara Lassa Daro yang menelan kos hampir RM600 juta siap sepenuhnya dibina menggunakan dana kerajaan Sarawak dan bebas tol, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau memberitahu, dengan siapnya jambatan itu, penduduk di kawasan berkenaan tidak lagi bergantung kepada perkhidmatan feri.

“Tahniah kepada masyarakat di sini kerana kita telah berjaya menyiapkan satu projek yang penting untuk pembangunan ekonomi lebih-lebih lagi kemudahan di kalangan masyarakat yang tinggal di sini.

“Dengan perasmian Jambatan Muara Lassa Daro ini yang menelan belanja hampir RM600 juta telah siap dibina ini, saya mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Kementerian yang telah melaksanakan projek ini dan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta kontraktor yang telah menjalankan tugasnya untuk menyiapkan jambatan ini.

“Saya juga berkesempatan menunggang motosikal merentasi jalan sepanjang 2.43 kilometer dan ia sangat lancar.

“Sudah tentu ia akan menjadikan perjalanan yang lebih mudah kepada penduduk di Pulau Bruit dan Daro,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian jambatan itu hari ini.


Tambah Abang Johari ini bermakna kawasan itu akan lebih mudah dihubungi sekali gus merancakkan sosioekonomi penduduk setempat.

Jambatan Muara Lassa merupakan sebuah projek infrastruktur strategik yang menghubungkan Tanah Besar Daro dengan Pulau Bruit di Bahagian Mukah. 

Ia merupakan usaha Kerajaan Sarawak memperkukuhkan jaringan jalan pesisir negeri, sekali gus mempercepatkan pembangunan sosioekonomi bagi penduduk di kawasan luar bandar. 

Jambatan ini merupakan sebahagian daripada projek Jalan Pesisir Sarawak yang bertujuan meningkatkan akses darat bagi penduduk kawasan luar bandar, khususnya bagi mereka yang sebelum ini hanya bergantung kepada perkhidmatan feri untuk menyeberangi Batang Lassa. 

tamat

Comments

Popular posts from this blog

Wanita dijumpai mati dipercayai dibunuh di Batu Kawa

Struktur binaan haram di tebing sungai Sungai Sebiew akan diroboh

Wanita jadi sasaran lelaki China kemaruk cinta