JPS laksana projek rancangan tebatan banjir termasuk TBBT - Fadillah

KUCHING-- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan projek rancangan tebatan banjir termasuk projek tebatan 
banjir berkeutamaan tinggi (TBBT).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelaksanaan projek ini merangkumi skop membina dan menaik taraf pelbagai infrastruktur banjir seperti ban, benteng, struktur kawalan, rumah pam, pintu air, kolam takungan termasuklah kerja melebar dan mendalamkan sungai. 

"Melalui pendekatan bukan struktur, PETRA melalui JPS menyediakan pelan induk tebatan banjir di seluruh Malaysia bertujuan untuk menyediakan perancangan dan penyelesaian banjir secara menyeluruh. 

"Sehingga Rolling Plan Kelima tahun 2025, sebanyak 50 pelan induk tebatan banjir telah disiapkan dan enam pelan pula sedang dibangunkan. 

"Manakala tiga lagi dirancang untuk mula dibangunkan bermula Jun 2025," katanya di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ini.

Fadillah berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr. Alias Razak (Perikatan Nasional – Kuala Nerus) yang meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu menyatakan perincian tindakan kementerian berhubung gesaan Perdana Menteri supaya projek berkaitan tebatan banjir disegerakan.

Jelas beliau sehingga Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia Ke-12 (RP5 RMKe-12), sebanyak 136 projek tebatan banjir telah diluluskan dengan jumlah kos RM22.86 bilion. 

"Daripada jumlah tersebut, 35 projek sedang dalam peringkat pra-pelaksanaan dan 73 projek sedang dalam pelaksanaan," tambahnya.

Malah, beliau memberitahu kerajaan telah menilai semula cadangan-cadangan projek tebatan banjir selepas 2022 untuk memberi keutamaan kepada kawasan-kawasan kritikal terlebih dahulu berdasarkan proses pentadbiran dan peruntukan kontrak yang bersesuaian serta mematuhi tatacara perolehan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan. 

"Kementerian komited dalam melaksanakan projek mitigasi banjir bagi menangani risiko banjir yang semakin meningkat, terutamanya di kawasan-kawasan yang sering terdedah kepada bencana," tegasnya.

Pada masa sama katanya, JPS sedang meneliti pendekatan untuk menyegerakan projek dengan tempoh dan kos yang lebih efektif. 

"Antara cadangan yang diambil ialah semua urusan termasuk pengambilan tanah dan proses rekabentuk akan diteliti semula untuk mempercepatkan tempoh penyiapan projek. 

"Dengan kerjasama daripada semua pihak yang terlibat dijangka projek dapat disegerakan sehingga 12 bulan lebih awal daripada tempoh asal penyiapan projek," ujarnya.


tamat

Comments

Popular posts from this blog

Wanita dijumpai mati dipercayai dibunuh di Batu Kawa

Struktur binaan haram di tebing sungai Sungai Sebiew akan diroboh

Wanita jadi sasaran lelaki China kemaruk cinta