Kerajaan Sarawak akan beri fokus pastikan harga tiket AirBorneo tidak terlampau mahal - Abang Johari
KUCHING— Selepas berjaya mengambilalih syarikat penerbangan MASwings yang kini dinamakan semula sebagai AirBorneo, Kerajaan Sarawak akan memberi tumpuan untuk memastikan harga tiket penerbangan AirBorneo dijual pada harga berpatutan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu adalah fokus yang diberikan agar harga tiket penerbangan yang ditawarkan tidak terlalu mahal dan membebankan.
“Untuk permulaan, kita memang memfokuskan agar harga tiket tidak terlalu mahal.
“Malahan kita (merancang) untuk menyediakan laluan penerbangan ke Kuala Lumpur, Singapura dan Jakarta terlebih dahulu sebelum mengembangkan ke destinasi lain seperti Hong Kong, Jepun dan sebagainya.
“Ini semua kita dilakukan secara berperingkat,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Perhimpunan Agung PBB Ke-16 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Tambah Abang Johari, syarikat penerbangan milik Sarawak itu sememangnya merancang untuk membuka laluan antarabangsa secara berperingkat seperti Jepun, Hong Kong, Indonesia dan Singapura.
Pada 12 Februari lalu, kerajaan Sarawak memeterai Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan Malaysia Aviation Group (MAG), sekali gus memuktamadkan pengambilalihan MASwings yang kini dinamakan sebagai AirBorneo.
SPA itu ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohammad Abu Bakar Marzuki mewakili Kerajaan Sarawak, yang juga merupakan Pengerusi AirBorneo, sementara Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail, mewakili MAG.
Jelas Abang Johari, dengan termeterainya perjanjian itu ia memuktamadkan pengambilalihan MASwings oleh kerajaan Sarawak sepenuhnya.
“Sudah tentu ini menjadikan ia milik 100 peratus kerajaan Sarawak, kita ambil semua pakej termasuk mengambil alih kakitangan MASwings di Sarawak dan Sabah serta pesawatnya,” tambahnya.
Beliau yakin dengan syarikat penerbangan milik penuh negeri itu akan memberi impak besar kepada industri pelancongan, logistik dan pelaburan di negeri ini.
tamat
Comments
Post a Comment