Sarawak tidak pernah setuju PETROS agregator tunggal gas tidak termasuk LNG - Willie



KUCHING— Sarawak tidak pernah bersetuju bahawa PETROS sebagai agregator tunggal yang hanya terhad kepada perniagaan bukan gas asli cecair (LNG), tegas Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin.

Malah, tegas beliau, Sarawak juga tidak pernah bersetuju bahawa PETROS tidak mempunyai hak untuk mengedar dan membekalkan gas asli untuk loji LNG.

“Yang di-Pertuan Agong juga menyebut Konsep Persekutuan yang menjadi asas penubuhan Malaysia dan teras pentadbiran negara hendaklah dihormati oleh semua pihak, suka saya ingatkan bahawa segala komponen Perjanjian Malaysia 1963 adalah asas penubuhan Malaysia dimana ia harus dikotakan dan dilaksanakan sekarang. 

“Saya amat berterima kasih kepada Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kerana sikap terbuka beliau dengan secara rasmi mengiktiraf Petros sebagai agregator gas tunggal untuk Sarawak dalam sidang akbar beliau baru–baru ini.

“Namun, pada 5 Februari 2025 Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Azalina iaitu Yang Berhormat Pengerang telah mengulangi kenyataan YAB Perdana Menteri bahawa Petronas telah secara rasmi mengiktiraf Petros sebagai agregator gas untuk Sarawak, tidak termasuk LNG, tanpa memerlukan pelesenan atau prosedur tambahan melebihi yang digariskan dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974 (Akta 144). 

“Oleh itu, saya ingin penjelasan kerana jawapan Menteri Undang – Undang 
dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh YAB Tambun dan YAB Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) bercanggah dengan jawapan YB Pengerang kepada YB Stampin (Chong Chieng Jen),” katanya pada sesi perbahasan usul di Dewan Rakyat hari ini.

 
Tambah Willie, apakah Petronas tanpa memerlukan pelesenan hanya sekadar pengecualian pelesenan namun masih tertakluk kepada Ordinan Pengagihan Gas? 


“Apakah perkara - perkara yang dipersetujui dalam rundingan Gas Asli Cecair (Liquefied Natural Gas)? 

“Apakah kewujudan Undang-undang Persekutuan dan Undang – Undang Negeri adalah secara bersama (Is the Federal and State Laws are coexist),” soalnya lagi.

Menurut beliau Laporan IGC mengesyorkan bahawa kuasa persekutuan ke atas elektrik dan gas hendaklah diserahkan kuasa perundangan ke atas Elektrik dan Pengagihan Gas kepada Sarawak dan Sabah. 

Jelasnya, syor itu dilaksanakan di bawah Perkara VIII MA63 oleh Yang Di-pertuan Agong menjadikan Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa perundangan pada tahun 1963 untuk melanjutkan kuasa perundangan Negeri Badan Perundangan untuk meliputi Elektrik dan Pengagihan Gas.

Tegas beliau, berdasarkan perintah tersebut, Dewan Undangan Negeri, Sarawak meluluskan Ordinan Pengagihan Gas, 2016 (DGO) yang telah dipinda pada 2023, membolehkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri melantik PETROS sebagai satu-satunya agregator untuk gas di Sarawak. 


“PETRONAS tidak dikecualikan di bawah PDA daripada pematuhan yang lain undang-undang bertulis seperti undang-undang Negeri. 

“Dalam kes PETRONAS lawan Pengawal Cukai Jualan Negeri dan Kerajaan Sarawak di Mahkamah Tinggi memutuskan PETRONAS tidak dikecualikan oleh PDA daripada pematuhan undang-undang lain termasuk Undang-undang Negeri. 

“Itulah sebabnya PETRONAS perlu membayar cukai jualan negeri di bawah Ordinan Cukai Jualan Negeri, dan telah membayar SST sejak 2019. 

“Oleh itu, PETRONAS mesti mematuhi DGO untuk mengagihkan dan membekalkan gas di Sarawak,” tegas Willie.
 
Bagaimanapun, beliau memberitahu, Kerajaan Sarawak sedia mempertimbangkan pengecualian untuk PETRONAS untuk mendapatkan lesen yang diperlukan di bawah DGO untuk aktiviti yang tidak berkaitan dengan pengagihan dan pembekalan gas kerana aktiviti tersebut hanya akan dijalankan oleh PETROS sebagai agregator tunggal. 

Dalam pada itu, Willie berkata, semasa perbincangan MA63, telah dipersetujui bahawa Seksyen 6(1) dan (3) PDA yang memerlukan orang yang menjalankan perniagaan pemasaran dan pengedaran gas untuk mendapatkan kebenaran daripada Perdana Menteri tidak boleh digunakan untuk Sarawak. 

“Ini menyebabkan Perdana Menteri ketika itu menandatangani Pemberitahuan Pengecualian Perintah (Pindaan) pada 2019. 

“Dengan Perintah Pengecualian ini, undang-undang yang mengawal pengagihan gas di Sarawak ialah DGO,” ujarnya.

Mengulas lanjut, katanya, Kerajaan Negeri telah mencadangkan supaya peranan PETRONAS dan PETROS terhadap gas distrukturkan seperti huluan (pengeluaran gas) akan diusahakan oleh PETRONAS, Midstream - perolehan, pengedaran dan pembekalan gas kepada semua industri di Sarawak yang akan dilaksanakan oleh PETROS sebagai agregator tunggal.

“Hiliran (Pengeluaran, penjualan dan eksport LNG) yang dijalankan oleh PETRONAS. Di bawah rangka kerja di atas, PDA dan DGO boleh wujud secara bersama. Jadi apa masalah? 

“PETRONAS tak rugi semua dan Petros tidak “sailang” semuanya. naratif yang mengatakan PETRONAS rugi besar dan kehilangan perniagaan secara total 
di Sarawak adalah tidak benar. 

“Kita perlu menyusun strategi pembangunan sumber gas supaya selaras dengan Dasar Gas Domestik & Campuran Tenaga (Domestic Gas & Energy Mix Policies); demi untuk menarik pelabur ke Sarawak yang juga secara tidak langsung juga untuk kemakmuran negara yang diterjemahkan melalui cukai korporat, kesan limpahan ekonomi domestic positif dan peluang pekerjaan,” tegasnya.

Pada hari ini, Willie menjelaskan daripada lebih kurang 4.5 bilion kaki padu standard setiap hari produksi gas asli di Sarawak, 94 peratus dieksport oleh PETRONAS kepada negara luar dan cuma 6 peratus sahaja untuk kegunaan domestik untuk kegunaan sektor tenaga, industri, komersial dan residensi.
 
Manakala di Semenanjung Malaysia 2 bilion kaki padu standard setiap hari produksi gas asli 100 peratus digunakan untuk domestik dalam pelbagai sektor termasuk sektor tenaga. 

“Adakah ini adil bagi Sarawak? Kenapa tidak 94 peratus atau sebahagiannya gas asli tersebut diurus oleh PETROS sebagai aggregator tunggal untuk menambah peratusan kegunaan domestik demi merancakkan sektor hiliran, industri domestik yang boleh menjana ekonomi Sarawak, menyediakan banyak peluang pekerjaan dan juga menjana pendapatan cukai kepada negara kita,” tambah beliau lagi.

“Hak minyak dan gas Sarawak tidak boleh dirampas dengan memperkudakan 
Akta PDA 1974, dimana pengisytiharan darurat telah diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk seluruh Malaysia pada tahun 1969 termasuk Sabah dan Sarawak melalui Ordinan Darurat 1969 (EO1969). 

“Ketika itu, Sarawak mempunyai undang-undang sendiri untuk mengawal selia perlombongan, termasuk aktiviti minyak dan gas di Sarawak, iaitu Ordinan Minyak dan Perlombongan 1958 (OMO 1958).

“Kemudian muncul Akta Pembangunan Petroleum (PDA), sebuah statut, yang diluluskan oleh Parlimen pada tahun 1974 (PDA1974) untuk meletakkan semua aktiviti minyak dan gas di Malaysia secara eksklusif kepada PETRONAS,” jelasnya.

Beliau menegaskan, memandangkan pengubalan PDA1974 oleh Parlimen dilakukan semasa EO1969 masih berkuat kuasa di Malaysia, ia telah dilanjutkan menurut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan tanpa perlu ia diterima pakai oleh Sarawak melangkaui keperluan Perkara 76 Perlembagaan persekutuan. 

“Walau bagaimanapun, kedudukan itu bertukar pada tahun 2011 apabila 
Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Dato Seri Najib berada dibawah tekanan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). 

“Pada tahun 2011, Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk memansuhkan ISA, dan dengan berbuat demikian, EO1969 juga telah terbatal. 

“Oleh itu, apabila EO1969 telah dibatalkan maka PDA1974 sudah tidak boleh dipakai di Sabah dan Sarawak. 

“Adakah Kerajaan Madani yang memertabatkan tatakelola dan tadbir urus yang baik, mengagungkan keadilan dan juga terus meneruskan kebrobokan dan ketempangan ini daripada terus berlaku?,” tegas beliau.


Sehubungan itu, beliau memberitahu, rakyat Malaysia perlu tahu dan hormati Ordinan Perlombongan dan Minyak Sarawak, 1958 (OMO1958) undang-undang Pra-Malaysia ini yang tidak pernah dimansuhkan dan ia akan terus sah dan terpakai sebagai undang-undang negeri mengenai kedudukan yang sama dengan undang-undang Persekutuan di bawah peruntukan Akta Malaysia. 

“Kesimpulannya, aktiviti minyak dan gas di Sarawak adalah di bawah bidang kuasa Sarawak. 

“Berdasarkan Butiran 8(J) Senarai Persekutuan yang tertakluk kepada Senarai 2(C) dalam Senarai Negeri, PDA 1974 hendaklah tertakluk kepada undang-undang Negeri berkenaan dengan pengeluaran Pajakan Perlombongan dan lesen mencari gali untuk “pembangunan mineral, minyak dan medan minyak,” ujarnya.


Comments

Popular posts from this blog

Wanita dijumpai mati dipercayai dibunuh di Batu Kawa

Struktur binaan haram di tebing sungai Sungai Sebiew akan diroboh

Wanita jadi sasaran lelaki China kemaruk cinta